Tuesday, June 23, 2009

Suria FM hargai wartawan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

GAMBAR kenangan wakil artis, media, penyampai radio dan orang kuat Suria FM.

"Sokongan media, artis letakkannya di tempat keempat untuk stesen radio berbahasa Melayu"

MEMETIK sebahagian daripada seni kata daripada single terbaru dendangan Aizat berjudul Kau Aku iaitu 'kau dan aku, adalah satu, tak kira apa...', ternyata ia ada kebenarannya.

Nukilan seni kata itu memberi gambaran yang sesuai terhadap dunia hiburan bahawa selebriti, wartawan, stesen TV, syarikat rakaman dan stesen radio saling memerlukan antara satu sama lain dalam terus memartabatkan seni ke peringkat yang lebih membanggakan.

Pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh wajar diperhatikan. Lalu, acara penghargaan media yang sering diadakan bagi mengenang jasa media mungkin antara formula untuk terus memastikan jalinan hubungan di antara pihak terbabit terus berkekalan. Biar ada yang mengandaikan majlis sedemikian bersifat membodek, namun, ia masih menjadi tradisi yang dilakukan saban tahun.

Begitu juga dengan apa yang dilaksanakan stesen radio Suria FM pada Jumaat lalu dalam sebuah majlis santai dipanggil Together Gather Bersama Media di sebuah hotel di ibu negara. Tahun lalu, stesen yang mula beroperasi sejak 30 Disember 2005 itu mengadakan majlis sambutan hari raya dengan menjemput rakan artis dan media di samping kehadiran penyampai radio mereka.

Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Zainal Abidin berkata, majlis sebegitu akan menjadi acara tahunan dalam kalendar stesen radio itu.

Noryn Aziz diundang melakukan cabutan bertuah sambil dibantu pengacara majlis, Puteri Hang Li Po.

Katanya, ia sebagai jalan terbaik untuk menghargai media yang selama ini sering memberikan sokongan tidak berbelah bagi mempromosikan sebarang aktiviti membabitkan stesen radio yang terkenal dengan tagline, Muzik Terbaik Tanpa Henti itu.

“Ini cara kami menghargai pihak media di samping dapat mengukuhkan hubungan sesama kita. Ia juga peluang untuk artis, media dan penyampai radio berkenal-kenalan dengan lebih dekat.

“Bukan selalu kita dapat berkumpul dengan lebih intim sebegini. Terima kasih juga kepada 16 artis yang hadir memeriahkan majlis dan menyumbangkan suara buat penyedap halwa telinga,” kata Engku Emran yang ditemui pada majlis itu.

Menetapkan warna biru dan putih sebagai tema majlis, majlis itu dihoskan wanita ‘jadian’ bernama Puteri Hang Li Po yang membahasakan dirinya sebagai kakak.

SHARIFAH Aini leka berbual dengan Pengarang B*Pop, Akmal Abdullah dan editor Murai.com, Roslen Fadzil.

Majlis dianggap meriah kerana selain wakil media, ia turut dihadiri oleh beberapa penyanyi nama besar di tanah air seperti Datuk Sharifah Aini, Jay Jay, Ameng Spring, Ramlah Ram, Aizat, Stacy, Liyana Jasmay, Farah Diana, Sarah Raisudin, Nubhan, Azharina, Dafi, Fazli Zainal dan ramai lagi.

Dalam pada itu, pengarang hiburan dari setiap akhbar, majalah dan blog turut turun padang menyerikan majlis.

Sementara itu, stesen radio yang menjalankan operasi di Tingkat 15, Bangunan AmAssurance, Jalan Lumut itu juga boleh tersenyum bangga kerana bancian AC Nielsen yang diadakan baru-baru ini menunjukkan peningkatan bermakna apabila berada di kedudukan nombor 12 secara keseluruhan membabitkan lebih daripada 30 stesen radio tempatan.

Malahan, Engku Emran turut memberitahu bahawa radio Suria FM berada di kedudukan keempat untuk stesen radio berbahasa Melayu.

“Bagaimanapun kedudukan itu tidak terus membuatkan kami selesa, sebaliknya, kami masih perlu mempertingkatkan kekurangan yang ada. Perjalanan kami masih jauh tapi saya yakin dengan semangat yang ada pada staf Suria FM, kami boleh bersaing secara sihat dengan stesen radio lain,” katanya.

Tidak terus berpuas hati dengan apa yang ada, Suria FM kini tidak betah duduk diam tanpa melancarkan strategi dan kempen untuk terus memastikan legasi stesen radio itu berpanjangan. Antara kempen yang masih berjalan dan diperkenalkan beberapa minggu lalu ialah Senyum & Menang RM 18,000 Bersama Tuah dan Zizi.

“Selepas ini kami akan mengadakan kempen Lagu Berduit pula yang menawarkan hadiah wang tunai. Satu sidang media mengumumkan kempen ini akan diadakan tidak lama lagi,” katanya ringkas.

Apa yang dilakukan itu adalah kesinambungan formula yang sering dipraktikkan stesen radio lain. Selain memutarkan muzik pilihan ramai dan tunjang jentera promosi yang efektif, program sebelah pagi turut menjadi tulang belakang menaikkan rating pendengar yang sering diberi keutamaan.

“Itu sebab kami lebih mempromosikan Zizi dan Tuah yang mengendalikan segmen Breakfast@Suria pada sebelah pagi. Tapi ini tidaklah bermakna mereka menjadi anak emas cuma memang fokus lebih diberikan kepada slot pagi kerana ramai pendengar pada waktu ini.

“Penyampai radio lain memahami langkah yang kami ambil, malah ia juga sebagai cabaran dan motivasi kepada mereka untuk terus melakukan yang terbaik selain mencuri peluang yang mungkin ada untuk mengendalikan slot pagi pada masa mendatang.

“Hakikatnya bukan sekecil anak tanggungjawab yang harus dipikul Zizi dan Tuah,” katanya.


Info menarik Suria FM

  • Kajian terbaru yang dikeluarkan AC Nielsen menunjukkan Suria FM menyaksikan peningkatan pendengar hampir 200,000 orang daripada 596,000 pendengar kepada 747,000.

  • Siri jelajah amal Suria FM akan diadakan Sabtu ini bermula jam 3 petang di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Antara penyanyi yang mengesahkan pembabitan mereka ialah Dayang Nurfaizah, Amy Mastura, Ning Baizura, Ramlah Ram, Elyana dan Nurul. Barangan peribadi milik artis juga akan dilelong oleh penyampai Suria FM seperti Tuah, Zizi, Naim, Bob, Zaff, Akhtar dan Lin. Orang ramai dijemput hadir.

  • Frekuensi Suria FM

    Lembah Klang : 105.3 fm

    Melaka: 88.5 fm

    Seremban, Negeri Sembilan: 107.0 fm

    Johor Utara: 88.5 fm

    Johor Baharu: 101.4 fm

    Kuantan, Pahang: 96.1 fm

    Perlis, P. Pinang, Kedah: 106.9 fm

    Terengganu: 102.4 fm

    Kota Bahru, Kelantan: 106.1 fm

    Ipoh, Perak: 96.0 fm

    Taiping : 91.7 fm

    Kota Kinabalu: 105.9 fm

  • *Dipetik daripada Berita Harian Online

    1 comment:

    edzlin007 said...

    meriah nya majlis. semoga rating naik lagi. suka tema biru putih ni, sejuk mata memandang