Saturday, June 28, 2008

Menari rutin harian

Selain menari, deejay radio Suria FM ini turut aktif menyertai sukan yang semakin digilai ramai. Apakah sukan tersebut?


PERNAH belajar menari di kelab Bat Latiff Junior.


WAJAHNYA sentiasa dilihat menghiasi rancangan kelab Kanak-kanak Angkasapuri RTM sekitar tahun 1992 dan kemudian menjadi penari iringan kepada selebriti terkenal tanah air, Erra Fazira.

Kini, suaranya pula berkumandang di corong radio Suria FM. Bertahi lalat di bibir kiri, Zafrina Abd Rahman atau popular dengan nama deejaynya, Zaff merupakan penyampai radio Suria FM yang semakin meningkat naik.

Bergandingan bersama penyampai radio, Tuah Zulqarnain menerusi program Drive-in, dia sememangnya menghiburkan. Keletah dan ragamnya tampak begitu serasi bersama Tuah.

Menerusi segmennya, para pendengar berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan. Antaranya, Trivia Rancak, Trivia Sukan, Carta Meluat, Tuah vs Zaff, teka-teki dan banyak lagi.

"Bagi saya, tugas sebagai penyampai radio begitu menyeronokkan kerana dapat menenangkan fikiran dan bersantai bersama pendengar," ujar graduan lulusan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam ini.

Boleh dikatakan Zaff sentiasa sibuk dengan tugasan hariannya di konti. Bagaimana pula waktu senggangnya? Apa yang dilakukannya?

Ikuti temu bual Santai bersama Zaff kali ini.

Setiap individu menantikan masa lapang dan hari cuti untuk berehat dan melakukan pelbagai aktiviti yang menarik. Apakah aktiviti pilihan anda?

Zaff: Waktu lapang adalah saat yang paling indah. Ini kerana saya berpeluang menonton wayang, membeli-belah, mengemas rumah dan paling utama berlatih menari. Menari adalah rutin wajib dilakukan pada setiap hari.




Bercakap soal menari, setiap kali menyaksikan persembahan Erra Fazira pasti kelibat Zaff muncul sebagai penari iringan. Selain itu, Zaff juga menari untuk Anugerah Juara Lagu, Zoom In, dan AIM. Sejak bila aktif menari?

Kalau dihitung, saya lebih banyak menari untuk persembahan Erra Fazira. Sudah 10 tahun saya bersamanya. Namun begitu, saya aktif menari ketika berusia 11 tahun. Segala-galanya bermula sejak menyertai Kelab Kanak-kanak Angkasapuri RTM pada tahun 1992.

Ini bermakna Zaff memang memiliki bakat menari sejak kecil lagi?

Tidak sama sekali (tergelak). Pada mulanya, tarian saya terlalu kaku dan keras. Selepas aktif dalam program Kelab Kanak-kanak Angkasapuri dan menyertai Suara Emas KL selama dua tahun, gerak tari mula dibentuk dan dilatih. Barulah nampak halusnya.

Kemudian pada tahun 1995, saya dididik pula oleh Allahyarham Bat Latiff di bawah kelab Bat Latiff Junior.

Selain aktif menari, apakah aktiviti sukan kegemaran anda?

Saya meminati sukan futsal sejak Suria FM menganjurkan program Futsal Selebriti. Sebelum ini, saya selalu berfikir tentang apakah keistimewaan sukan ini, sehingga membuatkan ia popular dalam kalangan wanita dan lelaki. Setelah menyertainya, barulah saya mengerti.

Apakah daya tarikan sukan futsal?

Sama seperti menari. Sukan ini membuatkan saya lebih bertenaga dan cepat mengeluarkan peluh. Ia juga memerlukan saya berfikir untuk menghasilkan corak permainan yang baik supaya pasukan berjaya menjaringkan gol.


*http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0628&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_01.htm

No comments: