Wednesday, January 21, 2009

Misi lelong amal Suria FM berjaya

Oleh Zaidi Mohamad
'Ini kasut but yang dibuat khas untuk saya'. Agaknya itulah yang diperkatakan Dayang Nurfaizah sambil diperhatikan Naim (kanan) dan Zaff.

Engku Emran tidak sangka kutipannya melebihi jumlah yang disasarkan

SEBANYAK RM2,281 berjaya dikumpul pada siri jelajah pertama Lelong Amal Suria FM di Mydin USJ, Subang Jaya Sabtu lalu. Majlis yang bermula seawal jam lapan malam itu berlangsung dengan jayanya diperkuatkan dengan kerjasama pengurusan pasar raya itu sendiri, Secret Garden dan pusat karaoke, Just K. Wang itu akan disalurkan ke Rumah Nur Salam, di Jalan Chow Kit dan usaha murni Suria FM ini wajar dipuji bagi memenuhi entiti tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

Selain rumah kebajikan itu, Pusat Perlindungan Pernim yang membela nasib anak-anak penghidap Aids juga terpilih antara penerima sumbangan amal siri jelajah lelongan amal ini. Acara amal ini diadakan dalam usaha merapatkan hubungan pendengar stesen radio itu dengan penyampai radionya, sekali gus memperluaskan lagi kewujudan jenama radio itu sejak hampir tiga tahun beroperasi. Dengan tagline baru, Muzik Terbaik Tanpa Henti diguna pakai sejak Disember tahun lalu, Suria FM dilihat masih tegar mengukuhkan namanya biarpun wujud persaingan di antara stesen radio popular lain.

Idea melaksanakan acara mulia ini diusulkan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi Suria FM Engku Emran Engku Zainal Abidin. Katanya, acara lelongan ini adalah suntikan baru yang diberikan kepada siri jelajah memperkenalkan Suria FM di mata masyarakat demi mensasarkan sejuta pendengar pada tahun ini. Lokasi seterusnya bagi acara ini akan diadakan di Kuala Terengganu penghujung Februari depan.

“Kami gembira dengan sambutan yang diterima untuk lokasi pertama siri jelajah di Pasaraya Mydin ini. Terima kasih kepada penderma yang bermurah hati membeli barangan yang dilelong. Tidak lupa juga kepada pendengar stesen Suria FM kerana sudi memeriahkan acara ini.

“Begitu juga kepada penaja dan artis. Saya sendiri menjangkakan hanya akan berjaya mengutip sekitar RM1,000 saja dan tidak sangka kami berjaya mengutip lebih RM2,000,” katanya bangga.

Usul acara ini dirancang sebelum berlaku kemelut peperangan di Palestin lagi, malah Suria FM melawan arus dengan tidak mengikut jejak pihak lain yang menderma ke saluran Tabung Gaza yang diwujudkan bagi membantu mangsa kekejaman Israel.Sebaliknya, Suria FM mempunyai matlamat membantu masyarakat kurang bernasib baik di negara ini yang ramai lagi tidak terbela.


Artis seronok melelong barangan peribadi

TERDAHULU, majlis amal pada malam itu diacarakan penyampai radio Suria FM, Zizi, Tuah, Zaffrina, Myra, Bob Ringgo, Akhtar dan Naim. Diiringi persembahan nyanyian daripada penyanyi yang undangan dan lelongan milik peribadi mereka, acara ini berjaya menghimpunkan lebih 1,000 orang. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin dan isterinya, Datin Siti Hawa Mohd.

Selain acara nyanyian, artis yang terbabit beramal melelong barangan peribadi dengan harga permulaan bidaan RM50.Lelongan barangan peribadi Erra Fazira berupa baju jenama Guess, tas tangan Nine West, buku perkahwinannya dan cenderahati dibida menjadi yang tertinggi apabila dibeli sendiri oleh Ameer Ali dengan harga RM500 sebagai hadiah kepada isterinya. Malah, lelongan kedua barangan milik Erra juga terjual pada harga RM350. Apa yang harus dipuji, biarpun sarat mengandung, Erra masih tegar memberikan sokongan kepada acara ini. Sejurus selepas acara ini selesai, dia dan suaminya bergegas ke majlis pelancaran butik dan kafe milik kawan baiknya, Umie Aida iaitu Belicious Boutique & Cafe di Damansara Perdana.

Sebelum itu, Dayang Nurfaizah memulakan persembahan dengan menyanyikan single terbarunya berjudul Luka dan serentak dengan itu Dayang mula melelong kasut but bersaiz 6 yang dibuat khas untuknya dan jam tangan jenama Swatch. Nikki pula menyanyikan lagu Selamat Tinggal dipetik daripada album terbarunya berjudul Hawa. Dia kemudian melelong tas tangan berwarna merah dan rantai lehernya. Kata Nikki, dia memang gemar mengumpul barang daripada rona warna merah yang dibeli satu set dengan kasut tumit tinggi yang dipakainya pada hari itu.

Liyana Jasmay sudi memberikan dua tas tangan jenama Guess dan Krizia untuk dilelong. Nubhan menghangatkan pentas siri jelajah ini dengan menyanyikan lagu Terima Kasih Cinta dendangan asal. Selepas itu dia melelong kasutnya yang kemudian dibeli oleh Ameer Ali.

Penyanyi dari Singapura, Imran Ajmain tidak ketinggalan melelong kain songket yang dibelinya untuk melaram di hari raya. Ia dibeli Imran dengan duit cek pertama yang diperoleh selepas bergelar artis. Menurut Imran, dia seorang pengumpul kain songket dan setakat ini sudah ada 12 koleksi yang dimilikinya. Pada acara amal itu, Imran mendendangkan single terbarunya berjudul Selamat Ulang Tahun, Sayang.

Dafi mengakhiri majlis dengan menyanyikan lagu terbarunya sebelum menghadiahkan albumnya kepada pembida tertinggi ketika melelong kemeja T dan seluar jeans miliknya.
* dipetik daripada Berita Harian

1 comment:

edzlin007 said...

saya ada research time tu, tak dpt pegi.huhu, tp kalau buat d utara nanti, beritahu la. Insyaallah sampai