Macam majlis kahwin
TIADA apa yang paling indah bagi seorang wanita saat dirinya disunting oleh seorang jejaka lalu terus mengakhiri zaman percintaan dengan ikatan tali pertunangan. Ia adalah momen penting yang semakin hampir ke jinjang pelamin bagi pasangan yang sedang bercinta.
Lebih indah lagi, ia mendapat restu kedua-dua ibu bapa keluarga. Barulah suasana majlis pertunangan disaluti dengan kemeriahan sanak-saudara serta tetamu lain yang turut hadir memberi restu.
Saat yang cukup manis ini kini sedang dialami penyampai radio Suria FM, Zafrina Abd. Rahman atau lebih dikenali sebagai Zaff bersama tunangnya yang merupakan seorang penerbit di sebuah stesen TV, Suffian Harris Mustapha yang selesa dipanggil Opie.
Setiap insan yang bercinta sudah tentu mempunyai detik manis yang tersendiri sebelum disunting oleh seseorang. Begitu juga dengan Zaff yang tidak segan berkongsi pengalaman momen-momen indah perkenalannya bersama Opie.
Mulanya sekadar kawan biasa sahaja, siapa sangka akhirnya masing-masing mempunyai perasaan untuk menjalinkan kemesraan dengan lebih serius setelah kecundang dengan percintaan sebelumnya.
"Kami sebenarnya kenal sewaktu saya menjalani latihan praktikal di ntv7 dan Opie pula bekerja di situ. Memang kami tak serius sebab masing-masing dah ada teman istimewa.
"Boleh dikatakan jodoh setelah saya putus cinta dengan kekasih lama, jadi bermulalah hubungan saya dan Opie dengan lebih rapat," ujarnya.
Tambah Zaff, ibunya merupakan insan yang pertama menanyakan sejauh mana hubungannya bersama Opie dan meminta mereka disatukan sekiranya hubungan yang terjalin hampir dua tahun itu benar-benar serius.
"Adik Zaff kahwin dulu, jadi dari situ mak tanya macam mana hubungan kami. Kalau betul-betul apa salahnya kami ditunangkan.
"Perkara itu saya ceritakan kepada Opie dan dengan gembiranya Opie memang bersedia untuk jadikan saya tunangnya," ungkap gembira Zaff sambil melirik manja ke arah Opie.
Kisah di sebalik kostum
Jelas sekali kelihatan riak wajah pasangan ini yang begitu seronok pada hari pertunangan mereka Sabtu lalu. Bertambah meriah lagi apabila majlis mereka yang berkonsepkan kemelayuan turut dibarisi dengan hulu balang dan beberapa dayang yang berpakaian sedondon. Baru bertunang, tetapi persiapannya tak ubah bagaikan majlis pernikahan.
Melihatkan majlis yang cukup meriah ini, sudah tentu kosnya juga agak tinggi. Tetapi Zaff, 27, memberitahu, dia hanya menggunakan kos sebanyak RM1,000 sahaja bagi hiasan pelamin pertunangannya.
"Memang saya tak habis banyak untuk hiasan mungkin kerana kebanyakan barangan ini datang dari kenalan rapat sendiri," akuinya jujur.
Pada majlis pertunangan yang diadakan di Kemensah Heights itu, hanya dengan solekan yang ringkas serta baju songket kurung moden berwarna biru menyaluti tubuh tinggi lampainya, namun ia ternyata berjaya menaikkan seri wajah Zaff.
|
|
"Baju ini memang banyak cerita di sebaliknya sebab ia bukannya baru ditempah tapi baju ini merupakan baju lama dan saya ubahsuai sedikit," jelasnya sambil tersenyum manis tatkala ramai yang memuji kostum pertunangannya pada hari tersebut.
Turut bertanggungjawab dalam majlis pertunangan mereka ialah rakan-rakan baik Zaff yang banyak menghiasi setiap sudut pelamin pertunangan, malah membantu menyediakan tujuh dulang hantaran buat Zaff untuk dihadiahkan kepada tunangnya itu.
Perkahwinan konsep Inggeris
Dalam pada itu, ditebak mengenai cincin bertatahkan berlian berkilauan pada jari Zaff, dia yang pada mulanya agak keberatan untuk bercerita mengenai cincin pertunangannya kemudian berkata: "Oh! Tak mahal sangat sekitar RM5,000 sahaja."
Menyentuh mengenai kenapa memilih Zaff sebagai pasangan hidupnya, Opie yang ditanya menegaskan dia mempunyai sebab-sebab tersendiri.
Menyifatkan selesa apabila berada di samping Zaff malah mereka turut mempunyai beberapa persamaan.
Celah Zaff pula, mereka gemar mencuba makanan di restoran-restoran baru serta mempunyai air kegemaran yang serupa iaitu Nescafe.
Bukan itu sahaja masing-masing juga merupakan pendengar yang baik tatkala mempunyai masalah, mereka tidak segan untuk luah serta berkongsi pendapat.
"Saya mendoakan kami berdua dapat disatukan sebagai suami isteri dan kekal sehingga ke akhir hayat," kata Zaff mengenai doa dan harapannya.
Dan Opie tanpa berselindung memberitahu mengenai rancangan perkahwinannya dengan Zaff.
Tarikh perkahwinan yang dipilih adalah sempena Awal Muharram iaitu pada 29 Disember depan.
Jika pertunangan mereka sudah nampak meriah bagaimana agaknya majlis perkahwinan mereka nanti?
"Majlis perkahwinan kami nanti berkonsepkan Inggeris yang mana saya akan pakai gaun dan Opie pula berbaju kot," jelas pula Zaff.
* Dipetik daripada Kosmo online
No comments:
Post a Comment