SESUAI dengan tagline, Hidup Pasti Rancak, showcase Suria Fm, Rancak Road Tour bersama Kosmo! telah pun merancakkan jiwa orang-orang utara di Central Square, Sungai Petani dan Sunway Carnival di Seberang Jaya.
Lebih kepada matlamat menyatakan penghargaan kepada pendengar-pendengar yang sentiasa menyokong dan menjadi pendengar setia stesen ini, persembahan showcase di kedua-dua lokasi itu telah menampilkan Erra Fazira, Ifa Raziah, Bandi Amuk, Hazama AF5, Diana Danielle, Aizad AF5, Lah Ahmad serta juara One In A Million 2, Ayu.
Tanpa penyampai radio di lokasi, sudah pasti showcase itu tidak boleh bergerak sendiri hanya dengan alunan vokal barisan artis popular.
Sudah pasti aksi lucu dan selamba Zizie, Zhana, Myra, Hairil, Tuah Zulkarnain, Zaff, Akhtar dan Bob Ringgo menggegarkan lagi lantai persembahan showcase tersebut.
Hari pertama, menyaksikan ramai yang mengerumuni pentas showcase tidak kira dari anak kecil sehinggalah ke veteran yang hadir, terdetik di hati saya, mereka ini pasti sporting dan mudah berkomunikasi dengan para penyampai serta artis-artis yang bakal mengadakan persembahan.
Ternyata detikan hati ini tepat apabila menyaksikan para penonton tanpa segan silu atau dipaksa, mereka dengan selambanya menawarkan diri naik ke pentas untuk membuat apa saja yang disuruh oleh artis dan para penyampai.
Kemudian, apabila Bandi Amuk mengajak salah seorang penonton naik ke pentas dan menyanyi ikut rentak penyanyi rock itu, tanpa malu, jejaka pilihan Bandi mengikut caranya bernyanyi.
Apatah lagi, apabila melihatkan penyampai-penyampai Suria FM menyediakan beberapa aktiviti kepada para penonton, pantas saja tangan mereka diangkat tanda mahu dipilih menyertai aktiviti-aktiviti itu. Lebih-lebih lagi daripada golongan anak-anak muda yang semangat mahu menunjukkan kehebatan masing-masing di samping untuk merebutkan hadiah-hadiah menarik.
Menyaksikan persembahan para artis yang hadir, ternyata penyanyi-penyanyi ini tidak menghampakan. Nyanyian Erra Fazira, Ifa Raziah, Bandi, Ayu, Hazama, Aizad dan Lah Ahmad telah memberikan kegamatan di dalam pusat membeli belah itu.
Tambahan pula, showcase ini merupakan persembahan pertama Ayu selepas bergelar juara dan si kecil molek ini memberikan energi yang maksimum dengan lagu-lagu yang dibawakan.
"Sedikit gementar untuk saya kerana ini merupakan kali pertama saya mengadakan persembahan. Apa pun, saya telah memberikan yang terbaik kepada para penonton yang hadir," beritahu jutawan baru ini yang turut berduet bersama Lah menerusi lagi Ceritera Cinta.
Walaupun, sedikit kekurangan berlaku pada sistem audionya, penonton yang hadir seperti tidak kisah dengan kekurangan itu malah mereka seperti menghilangkan tekanan masing-masing dengan menghiburkan diri dengan persembahan hebat artis-artis yang dibawakan oleh stesen radio yang sedang meningkat naik itu.
Dan pastinya yang menjadi kemuncak bagi hari kedua showcase yang diadakan di Sunway Carnival pula, keterujaan para penonton di sini masih sama dengan showcase hari pertama.
Melihatkan pentas yang diletakkan, ia seperti begitu strategik sekali. Kerana setiap tingkat para penonton masih lagi boleh menyaksikan persembahan artis-artis hebat yang dibawakan khas itu.
Dan kali ini, mungkin sebab hari terakhir showcase bersama para peminat, penuh kawasan pusat membeli belah tersebut dikerumuni.
Malah pekerja-pekerja butik termasuklah pengawal yang menjaga keselamatan orang ramai di sekitar pentas turut 'curi-curi' menyaksikan gelagat-gelagat para penyampai Suria FM serta nyanyian artis-artis.
Pelakon baru yang sedang meningkat naik, Diana Danielle, turut menunjukkan bakat yang terpendam dengan menyanyikan beberapa lagu kesukaannya dan salah satu daripada nyanyian Diana, Let Us Breath, adalah lirik dan lagu yang dihasilkan Diana sendiri.
Walaupun tidak bergelar sebagai penyanyi, ternyata suara gadis yang berusia 17 tahun ini memikat hati para penonton.
Secara kesuluruhan, semua artis yang terlibat telah menampilkan sebuah persembahan yang berkualiti. Ditambah pula dengan celoteh para penyampai Suria FM, membuatkan para penonton tidak kering gusi.
Menariknya, para penonton sedikit pun tidak berganjak untuk pulang. Sebaliknya mereka sanggup tunggu sehingga showcase tersebut selesai.
Malah ada yang sanggup mengiringi para artis untuk dihantar pulang sehingga ke pintu masuk pusat membeli belah Carnival.
Menyaksikan betapa terujanya para penonton di Sungai Petani, terdapat perbezaan ketara dengan para penonton di Kuala Lumpur.
*dipetik daripada www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment