Saturday, March 22, 2008

Hindar kontroversi murahan

Oleh FAIZAL SAHARUNI


EMPAT deejay wanita yang mewarnai Suria FM.


BIAR pun masih mentah berkumandang di udara, namun semakin ramai sudah menyedari tentang kewujudan stesen radio Suria FM yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu.

Barangkali ceritera cinta Ketua Pegawai Operasinya, Engku Emran Engku Zainal Abidin dengan artis jelita Erra Fazira sebelum ini sedikit sebanyak membuka mata pendengar terhadap stesen berusia setahun jagung ini.

Enggan terus meraih publisiti murahan, pihak pengurusan stesen itu turut memastikan peminat tidak hanya terleka dengan kisah kontroversi, sebaliknya mereka giat mempelbagaikan promosi dalam usaha menaikkan taraf Suria FM.

Kalau sudah namanya stesen radio, apalah serinya Suria FM tanpa jambangan 'bunga' yang sedang menguntum mekar sekali gus membantu dalam menarik minat khalayak.

Dan seperti stesen radio swasta lain, Suria FM juga mempertaruhkan barisan penyampai muda lagi jelita, yang tidak dinafikan, memudahkan lagi stesen itu bermain dengan rentaknya.

Antara barisan deejay yang mewarnai Suria FM termasuklah Zhana, Zaff, Akhtar dan Myra yang kini semakin terkenal di kalangan pengikut setia stesen radio itu menerusi segmen masing-masing.


Karier terbaik Akhtar

Bagi Akhtar atau Nur Akhtar Amin, 26, bukan populariti yang ingin dikejar, sebaliknya dia mahu dikenali kerana kejayaan mengendalikan rancangannya, Suria 8-11.

Sebagai pendatang baru, Akhtar mengakui, mengendalikan rancangan tersebut merupakan suatu tanggungjawab berat dan perlu ditangani secara berhati-hati.

"Saya kena putarkan dua lagu permintaan pendengar. Segmen ini menarik sekali apatah lagi saya perlu berinteraksi bersama peminat.

"Orang ingin dengar lagu yang mereka sukai. Jadi saya tidak boleh banyak berceloteh.

"Program ini kelihatan mudah untuk diuruskan, tetapi saya anggap ia mencabar kerana saya perlu bercakap dengan gaya santai dan menarik," katanya.

Setelah diamanahkan untuk menjalankan tugas itu, Akhtar kini bukan sahaja seronok berada di konti, malah dia menyenangi kemajuan yang dicapai sebagai seorang deejay.

"Saya bersyukur berada dalam kelompok Suria FM. Kalau boleh saya mahu membesar bersamanya dan mengembangkan bakat yang dimiliki," tegas Akhtar yang sebelum ini berpengalaman menjadi tenaga pengajar di sebuah kolej di ibu kota.

Meski pun bekerja dalam konti tanpa dilihat para pendengar, penyampai radio tidak terkecuali terkena tempias glamor dan dianggap selebriti di mata masyarakat.

Beritahu Akhtar yang turut terlibat dengan kerja-kerja suara latar iklan sejak 2001, dia tidak merasakan dirinya terkenal setelah terlibat dalam dunia penyiaran.

"Saya masih rasa biasa, cuma saya kena pastikan adab dan perilaku harus dijaga supaya tidak akan dipandang serong orang lain," jawabnya jujur.

Setelah meneroka banyak bidang pekerjaan, kata Akhtar, kini dia sudah pasti terhadap kerjaya yang diingininya.

"Saya cukup gembira dengan karier sebagai deejay!" celahnya teruja.


Sinar cerah Zhana

Seorang lagi penyampai manis dan bertubuh montok, Zhana atau nama sebenarnya Wan Nurul Zhana Wan Mohd. Hanizan, 24, penyertaannya dalam keluarga Suria FM dapat memberi satu lonjakan baru untuk masa depannya.

Pernah diseret dalam kontroversi mainan laman seni yang menyentak emosinya, Zhana menganggap penglibatannya bersama Suria FM sejak Jun tahun lalu menyuntik semula semangatnya.

"Tawaran daripada Suria FM sebagai juruhebah ibarat rezeki datang menggolek apatah lagi ketika itu fikiran saya tidak menentu.

"Alhamdulillah, pengalaman sebagai deejay di Traxx FM selama dua tahun (2004-2006) nyata membuka mata pihak Suria FM untuk mengambil saya bekerja.

"Saya terima tawaran Suria FM selepas sebulan keluar dari AF. Sehingga hari ini, saya akui semakin seronok melayani pendengar," luah Zhana yang mengendalikan Breakfast@Suria bersama Zizie bermula 6 hingga 10 pagi.

Zhana memberitahu, dia gembira dengan pencapaian Suria FM yang memperlihatkan perkembangan cerah dari semasa ke semasa.

"Jumlah pendengar terus bertambah setiap hari. Sudah tentu perkara ini menggembirakan seluruh pasukan Suria FM.

"Walaupun tidak tersenarai sebagai tiga stesen radio tangga teratas, kami bersyukur dengan peningkatan ini.

"Mungkin konsep yang cuba diketengahkan Suria FM lebih menekankan gaya hidup masa kini, jadi ia dilihat mampu memberi kelainan kepada peminat yang sentiasa inginkan pembaharuan," akui Zhana gembira.


Myra pelajari perkara baru

Bagi Amirah Sakhia Shamsuddin atau lebih mesra disapa Myra, dia mula menyertai Suria FM hampir setahun lalu.

"Saya mengendalikan segmen Surialicious bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengahari.

"Rancangan ini lain daripada yang lain. Saya akan berikan petua kepada pendengar. Ia berupa interaksi dua hala antara saya dan peminat.

"Mereka bebas memberikan sebarang panduan berkaitan gaya hidup masa kini," jelas Myra lebih lanjut tentang segmen di bawah kendaliannya di Suria FM.

Myra turut memperlihat keterujaan menjawat status sebagai deejay yang disifatkan banyak memperbaiki sebutan bahasa Melayunya.

"Saya dapat menggunakan bahasa dengan betul serta mengawal keseluruhan aspek teknikal dalam konti.

"Ramai yang beri tunjuk ajar kepada saya untuk meningkatkan kebolehan dan kemampuan sebagai penyampai yang baik.

"Sekarang ini pun saya masih belajar perkara-perkara baru mengenai dunia penyiaran radio. Saya harapkan agar gaya penyampaian saya lebih bagus," jawabnya jujur.

Myra turut memberi pendapat peribadinya tentang Suria FM berbanding stesen radio lain di negara ini.

"Memang kita masih baru, tapi format yang ditampilkan radio ini jelas berbeza.

"Kita menampilkan konsep tentang gaya hidup demi meraih sambutan pendengar sama ada baru atau pun lama," ujarnya ringkas.


Rezeki buat Zaff

ZAFF atau nama sebenarnya Zafrina Abd. Rahman merupakan antara barisan deejay radio perintis yang menyertai bidang penyiaran radio tanpa sebarang pengalaman dalam bidang tersebut.

Namun dia memberanikan diri menjalani uji bakat walaupun pada awalnya tidak mempunyai sebarang keyakinan.

Ketika itu dia masih bekerja di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota dan dalam masa yang sama menjadi penari bebas.

"Saya masuk Suria FM bermula Disember 2005. Rasa takut dan gementar juga pada awalnya apatah lagi tiada sebarang pengalaman bertugas sebagai deejay.

"Lama-kelamaan, saya berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut sehinggakan saya gembira dengan kerjaya ini," katanya riang.

Menceriakan slot Suria Drive-In bermula petang hingga 8 malam berpasangan bersama Tuah Zuqarnain, Zaff, 26, tidak menyukai saat berhadapan dengan masalah teknikal dalam konti.

"Ia boleh hilangkan semangat saya untuk buat kerja. Bayangkan, sedang kita teruja untuk ke udara, tiba-tiba sistem komputer buat hal.

"Bukan itu saja, kelalaian diri sendiri sewaktu berada dalam konti juga adakalanya terjadi kepada saya.

"Sudahlah ia amat memalukan, saya juga akan dimarahi bos," kata anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini.

Bermula dari kosong, kata Zaff, setelah masuk tahun kedua bersama Suria FM dan dengan penjenamaan semula stesen itu, dia dapat merasai perubahan besar.

Jika dahulu, tidak ramai yang tahu siapa dirinya, kini kehadirannya mula dirasai.

Dan itu menaikkan semangatnya untuk terus bekerja dengan lebih kuat demi memacu kejayaan bersama stesen itu.

Untuk berjaya menjadi seorang deejay bukan sesuatu yang mudah, malah persaingannya juga semakin sengit dengan kehadiran stesen baru bersama perintis muda yang lebih dinamik.

Mampukah dia bersaing dengan penyampai sedia ada yang sudah menempa nama dan mempunyai kelompok peminatnya sendiri?

"Saya bukannya mahu bersaing, cuma ingin bina tapak kukuh dalam bidang penyiaran sekali gus menanti peluang lain di hadapan," kata Zaff yang bercita-cita mahu mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan.



*dipetik daripada www.kosmo.com.my

No comments: