Friday, March 6, 2009

Ayah bayarkan ansuran kereta

Sikap ayahnya yang mengambil berat mengenai kebajikan anak-anak memudahkan Zaff kerana tidak perlu ke bank membayar ansuran kereta.




SEPANJANG tempoh dua tahun menggunakan kereta buatan Malaysia Proton Gen2, penyampai radio popular, Suria FM, Zaff, 28, mengaku dia tidak pernah membayar duit ansuran kenderaan miliknya.

Bagaimana pula begitu? Apakah kereta berwarna oren yang dipandu oleh Zaff atau nama sebenarnya Zafrina Abd. Rahman ditaja kekasihnya?

Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Sebenarnya, akui wanita yang baru disunting menjadi isteri orang itu, duit deposit dan ansuran bulanan memang daripada koceknya, cuma dia tidak pernah ke bank untuk urusan pembayaran.

"Sejak beli kereta ini kira-kira dua tahun lalu, saya tidak pernah membayar duit ansuran bulanan di bank mahupun melalui internet. Ini kerana ayah saya, Abd. Rahman Ghazali, 52, yang bayarkan.

"Bukan sengaja ingin menyusahkan ayah, tetapi sejak dari dulu lagi, dia cukup mengambil berat tentang banyak perkara yang melibatkan anak-anaknya.

"Kalau saya tidak punya kesempatan pergi ke bengkel untuk servis kereta, ayah saya menjadi orang pertama yang mahu tolong.

"Biasanya, dia akan tolong hantarkan kereta ini untuk diservis pada hujung minggu," katanya telus semasa ditemui pada sesi fotografi Ini Mobilku yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SELIPAR kecil digantung dalam kereta sebagai aksesori hiasan.


Berbalik tentang pembayaran ansuran bulanan kereta miliknya, Zaff berkata, ayahnya sendiri yang menyatakan kesanggupan untuk pergi ke bank atau menggunakan khidmat deposit tunai.

"Ayah berkata kepada saya bahawa alang-alang dia hendak bayar, lebih baik dia tolong bayarkan sekali untuk saya.

"Lagipun pejabat ayah bersebelahan dengan bank berkaitan," ungkap Zaff sambil tersenyum manis.

Walaupun baru mendirikan rumah tangga dengan Suffian Harris Mustapa atau nama timangannya Opie, 31, kira-kira dua bulan lalu, namun Zaff masih menganggap dirinya umpama anak ayah.

Anak sulung daripada lima beradik itu sebelum ini pernah disarankan oleh suaminya untuk membayar ansuran kereta itu melalui internet.

Akui Zaff, dia belum cukup yakin untuk membayar dengan menggunakan teknologi moden itu.

"Entahlah, saya sememangnya kurang yakin membuat sebarang bayaran menerusi perkhidmatan internet kerana saya tidak memiliki akaun yang sama.

"Saya lebih selesa melakukannya secara konvensional, apatah lagi dibantu oleh ayah," ujarnya ketawa yang mula bersama Suria FM sejak tiga tahun lalu.




Zaff yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) dari Universiti Teknologi Mara memberitahu, ada kemungkinan besar dia akan membayar sendiri wang ansuran bulanan kereta selepas ini.

"Niat di hati memang ada, tetapi saya tidak tahu lagi bila waktu yang bersesuaian. Mungkin bukan dalam masa yang terdekat ini agaknya.

"Selepas berkahwin dan menjadi hak orang lain, saya kena belajar berdikari, tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.

"Cuma satu sahaja perangai ayah yang saya yang tidak berupaya pertikaikan. Jika anak-anaknya minta tolong buat sesuatu perkara, dia tidak pernah mengatakan tidak.

"Dia tetap melayan saya sama sahaja walaupun sekarang saya sudah bergelar isteri orang," katanya yang gemar menari dan membaca apabila mempunyai waktu terluang.

*dipetik daripada www.kosmo.com.my

5 comments:

edzlin007 said...

suka pic akak zaff dgn kipas tu. :)

Ma'am_Chelsea said...

Untungnyer Zaff ader ayah yg caring gitu :)

Anyway, comey bangat la slipar kecik tu ... Awesome!!

Aziz Laikar said...

haha... trademark kipas!

Sakura said...

Sabtu tadi 7/3/09 pun ada cite Kak Zaff honeymoon dengan suami:-)

cikgu said...

bertuahnya anak dapat ayah yang generuous