Wednesday, September 22, 2010

Rezeki anak sulung


Oleh Nurulhisham Abdul
2010/09/12

Zafrina Abdul Rahman, Zaff dinaikkan pangkat, beli rumah baru ketika hamil cahaya mata pertama.

APABILA suaranya tidak lagi kedengaran pada hari biasa di saluran Suria FM, sebahagian peminat mula bertanya, apakah Zaff tidak lagi bersama stesen radio berkenaan? Tentunya mereka terkilan sekiranya suara milik wanita terbabit tiba-tiba hilang, sedangkan dia antara penyampai pertama yang berkhidmat bersama radio itu tatkala ia mula dilancarkan.

Bagaimanapun, peminat yang mendengar rancangan radio berkenaan pada pada hujung minggu tentunya perasan Zaff atau nama sebenarnya Zafrina Abdul Rahman masih lagi ke udara di saluran terbabit, mengendalikan program yang disiarkan dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang, Sabtu dan Ahad.

"Zaff masih bersama Suria. Cuma jika sebelum ini pendengar dapat mengikuti siaran kendalian Zaff pada hari bekerja, kini Zaff hanya muncul ke udara pada Sabtu dan Ahad saja. Berkuat kuasa Jun lalu, Zaff dinaikkan pangkat kepada seorang produser. Antara rancangan terbitan Zaff ketika ini ialah Carta Suria 20 kendalian Halim Othman dan Linda Onn, serta Carta Suria Baik Banget yang dikendalikan Zizi dan Tuah.

"Berbeza dengan tugas penyampaian, sebagai penerbit Zaff harus lebih kreatif. Tugas Zaff kini tidak ubah seperti mencorakkan kertas kosong supaya ia kelihatan menarik. Kini, baik buruknya sesuatu program, kitalah yang akan kena," katanya sambil menguntum senyuman manja.

Jika dia berasakan cabaran utama yang dihadapi sebagai penyampai satu masa dulu adalah untuk membuat peminat mendengar rancangan kendalian masing-masing, kini skop kerjanya jauh lebih luas. Dia perlu berurusan dengan lebih banyak pihak, bukan sekadar penyampai, pegawai perhubungan awam, jurutera muzik dan sebagainya.

Bercerita mengenai pengalamannya pada peringkat awal bertugas sebagai produser beberapa bulan lalu, Zaff yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Suria di sebuah hotel terkemuka di ibu kota baru-baru ini mengaku dirinya agak kaget apakah dia mampu melakukannya. Apatah lagi kini dia perlu menjaga penyampai yang jauh lebih senior berbanding dirinya seperti Halim dan Linda.

"Saya bernasib baik kerana semua pihak bersikap profesional. Walaupun Zaff tidak pernah melakukan tugas penerbitan sebelum ini, tetapi sikap saling membantu membuatkan kerja Zaff lebih mudah. Selain daripada rakan yang lain, Linda sendiri banyak menghulurkan bantuan. Dia tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman. Kami sebenarnya banyak berbincang untuk mencantikkan lagi program," katanya.

Dedah wanita ini, Linda seorang yang cukup kreatif apabila berbicara mengenai penerbitan program radio, manakala Halim pula lebih suka mengambil sikap menurut saja, dengan sekali-kala turut menyumbang idea yang cukup bernas.

Katanya, tawaran itu juga datang ketika dia mengandungkan anak pertama, hasil perkahwinan dengan pengarah kreatif sebuah syarikat produksi, Suffian Harris Mustafa.

"Ini semua saya anggap sebagai rezeki anak. Selain dinaikkan pangkat, suami saya sendiri mendapat kerja baru. Kami juga baru saja membeli rumah baru di Bandar Sungai Long, tidak jauh dari kediaman ibu.

"Zaff dijangka bersalin pada 19 Disember nanti. Tetapi kalau boleh, Zaff teringin melihat anak sulung ini dilahirkan pada hari lahir Zaff sendiri, iaitu pada 22 Disember. Kiranya, bayi ini akan lahir genap dua tahun perkahwinan kami (29 Disember)," katanya yang bersyukur apabila tidak mengalami alahan sewaktu hamil.

Saat ini, kata wanita ini, dia tidak dapat mengelak daripada memikirkan pengalaman hendak melahirkan anak apabila tiba masanya nanti. Paling penting, ujarnya, dia mahu melihat bayi dalam kandungannya itu lahir ke dunia dalam keadaan sempurna.

Sumber : Berita Harian Online, 12 September 2010


No comments: